Tuesday, February 26, 2008

UMNO di Abad ke 21 : Insan Kecil Bahagian dan Orang bawahan tiada makna lagi?

Sejak irama gamelan pilihanraya umum ke-12 di tiupkan oleh pimpinan UMNO Malaysia yang di ketuai oleh Pengerusi Barisan Nasional, YAB Dato Seri Abdullah Badawi; maka bertebaranlah jentera-jentera UMNO, MCA dan MIC di serata peringkat negara bersiap sedia untuk menghunus tulang empat kerat, membanting keringat dan memerah akal untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Memastikan kemenangan untuk parti pilihan masing – masing tentunya menjadi aspirasi sesiapa sahaja yang bergelumang dalam arena politik ini. Setiap insan yang berjuang, yang pergi berperang tentunya di hati inginkan kemenangan.

Untuk itu, izinkan penulis untuk memfokus perhatian kita kepada UMNO di abad ke 21 ini, dimana kita di tahun 2008; 12 tahun sebelum VISI 2020 akan tercapai masih lagi terperangkap di dalam mentaliti feudal dan kolot. Rata – rata di hierarki UMNO Malaysia kita dapat lihat di mana hanya pembesar – pembesar berdarah bangsawan sahaja masih di anggap relevan dan kata – katanya di anggap hikmat dan perlu di patuhi. Pada masa yang sama, hati dan perasaan penggiat dan aktivis UMNO diperingkat AKAR UMBI, ikan – ikan bilis kecil di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negara di abaikan dan di peranak – anakkan seolah – olah mereka ini anak - anak kecil yang perlu di marahi, di cabuk dan tangisannya tidak di peduli sehinggalah datang sekali lagi musim pilihanraya.

UMNO: Makin Hilang Arahnya

Apa yang di maksudkan penulis di sini ialah bagaimana UMNO Malaysia ini, sekarang hanyalah ibarat rangka kepada UMNO yang tertubuhnya pada tahun 1946. Sumpah hikmat UMNO Malaysia untuk berjuang demi kepentingan agama Islam dan anak Melayu tanah air ini sudah di lupakan. Yang penting sekarang ialah UMNO sudah di kuasai oleh golongan bangsawan yang kata – katanya menjadi FATWA dan tidak dapat di bangkang oleh mana – mana pihak, terutamanya oleh pimpinan akar umbi di cawangan – cawangan dan peringkat bahagian.

Para pimpinan cawangan hanya di ibaratkan oleh pimpinan pusat sebagai “orang – orang kampung” ataupun anak – anak bilis yang pada tanggapan mereka hanyalah orang – orang kampung yang kolot, kurang bijaksana, tidak tahu berpolitik dan kurang visi. Pada tanggapan penulis sepatutnya pimpinan UMNO Malaysia mempergunakan pengetahuan geopolitik aktivis dan penggiat UMNO tempatan untuk memastikan kemenangan mutlak di Pilihanraya ke 12, sebaliknya berlaku di mana calon – calon kesayangan para bangsawan di turunkan demi untuk menjaga kepentingan masing – masing dan para pimpinan cawangan dan bahagian di jadikan KUDA TUNGGANGAN, di mana keringat dan tulang empat kerat mereka di perah untuk memastikan kemenangan tanpa mengira bakat ataupun ketokohan calon yang di ketengahkan itu ataupun samada perbuatan ini mengguris hati kepimpinan tempatan yang sudah lama berkhidmat, bersusah – payah membanting tulang untuk masyarakat setempat selama ini.

Kemelut Perlis : Akar Umbi Masih Berbisa!

Lebih lanjut kita lihat sahaja di utara negeri kita, di mana calon – calon yang di ketengahkan di Perlis mendapat bantahan para aktivis bahagian dan cawangan. Ini adalah kerana senarai calon – calon yang di ketengahkan dan dirasakan sesuai di pihak bahagian seperti di Kangar, Padang Besar dan Arau tidak di pedulikan langsung oleh pihak kepimpinan bangsawan UMNO Pusat. Sebaliknya mereka mencuba untuk memeras ahli - ahli bahagian untuk menerima calon yang di tetapkan secara WAHYU dari pihak UMNO pusat, yang di dalangi oleh gergasi UMNO Perlis, Dato Radzi Sheikh Ahmad bertujuan untuk menumbangkan pengaruh Dato Seri Shahidan Kasim di negeri Perlis.

Akan tetapi, penulis harus memuji tindakan akar umbi jentera pilihanraya UMNO Negeri Perlis yang sayangkan pimpinan akar umbi mereka dan menghargai jasa pimpinan tempatan melebihi WAHYU dari bangsawan – bangsawan dari peringkat pusat ini. Mereka memberontak! Mereka mengumumkan pada hari Rabu (13 Febuari 2008) bahawa sekiranya senarai calon tidak di atur semula mengikut apa yang telah dipersetujui oleh bahagian masing – masing, maka seluruh jentera pilihanraya negeri Perlis akan di lumpuhkan kerana semua penggeraknya akan nekad untuk meletak jawatan. Akhirnya kita dapat lihat bagaimana Dato Seri Shahidan dan beberapa muka yang di calonkan oleh UMNO Bahagian masing – masing di Perlis masih kekal walaupun pada asalnya namanya tidak tersenarai pun di senarai awal calon dari UMNO Pusat. Tahniah akar umbi UMNO Perlis, jelas masih berbisa!!!!


Kemelut di Kedah : Sampai Bila Harus Jadi Balaci ?

Di Kedah juga kita dapat melihat situasi yang serupa. Calon – calon pilihan yang diterbangkan dari luar menguasai kerusi – kerusi “selamat” yang empuk demi untuk mempertahankan kekuasaan ketua berdarah bangsawan mereka.

Penulis kurang percaya negeri hikmat kesayangan kita ini, yang membekalkan 2 Perdana Menteri kepada arus kepimpinan negara tidak dapat memberikan kita kepimpinan yang lebih bermutu dari calon – calon “TERBANG” yang rata – rata kurang pengalaman, pengetahuan dan juga sepak terajang geopolitik setempat di kawasan itu. Malah, sebagai ujian kepada calon-calon ini, penulis mencabar calon – calon “TERBANG” ini untuk menamakan imam – imam mahupun masjid – masjid di kawasan Parlimen ataupun DUN yang mereka tandingi.

Penulis berani jamin 100 % daripada mereka akan gagal dalam ujian ini.

Sebagai contoh kita lihat bagaimana calon terbang di P 16 – Baling Dato Azeez Abd Rahim, seorang mamak dari Kampung Baru, Kuala Lumpur yg masih bercakap Tamil sebagai lingua franca keluarganya di jadikan calon Parlimen Baling.

Bagaimana individu seperti ini, yang tidak tahu sensitiviti dan budaya setempat menjadi calon BN di Baling harus di jadikan persoalan! Adakah sudah pupus cerdik pandai dan pemimpin di Baling?

Ataupun ini adalah kerana mainan politik BANGSAWAN – BANGSAWAN UMNO di Kuala Lumpur yang tidak pernah turun kampung, tidak bercampur dan bermain keringat dan lumpur dengan “orang – orang kampung” cawangan.

Janganlah menganggap ahli – ahli UMNO peringkat akar umbi hanyalah PAK HANGGUK yang sanggup hinggakan seorang mamak salesman kereta di Kampung Baru menjadi calon pun kita akan membuta – tuli sokong tanpa memikirkan gurisan hati kepimpinan tempatan yang sudah bertahun - tahun sudah bekerja keras untuk penduduk tempatan!!!!

TENTUNYA TIDAK!!!

Baru – baru ini penulis mendengar rintihan hati seorang pemimpin bahagian yang juga pemimpin cawangan di mukimnya. Keluarga beliau memang di kenali di kawasannya, dan beliau mempunyai rama saudara mara di situ. Pendek kata, kalau di kira dari segi bakat, pengetahuan setempat dan semangat juang tentunya beliau menjadi calon UMNO mutlak di kawasan tersebut. Tambahan pula beliau seorang yang bersih, kesan dari didikan agama yang kukuh sejak dari kecil lagi.

Beliau telah 25 tahun aktif bersama UMNO, dan memang di kenali sebagai mudah di dekati, ringan tulang dan sanggup mengeluarkan wang poket sendiri yang tak seberapa demi perjuangan parti, walaupun hanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan "tak makan percent" seperti kebanyakan pimpinan UMNO lain dewasa ini.

Kisah peritnya bermula 1997, di mana UMNO menerima tamparan besar akibat konflik Mahathir – Anwar. Maka dirata –rata negara berpecahlah UMNO dari peringkat pusat hinggalah ke peringkat cawangan. Sahabat kita ini terus bersama UMNO walaupun di caci dan di ejek, di tuduh dan di kecam oleh masyarakat setempat dan juga musuh – musuh politik. Berkat ketabahan dan kecekalan hati, maka pada 1999 beliau di “short list” untuk menjadi calon di kawasan beliau. Maka, terasalah di hatinya syukur kerana pengorbanannya di hargai oleh kepimpinan parti.

Nyata, di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari ! Akibat krisis kepimpinan negeri Kedah, nama beliau di “CANTAS” di hari pencalonan kerana kemelut mainan politik Sanusi Joned – Osman Aroff. Bagaimanapun, sahabat kita bersabar dan berserah kepada takdir. Mungkin bukan lagi masanya untuk di lantik Allah menjadi pemimpin. Khidmat tetap di teruskan untuk anak – anak kawasan, tanpa mengira penat, lelah dan wang ringgi yang sedikit.

2004 pun menjelang. Sekali lagi gerak kerja sebagai pemimpin cawangan dan bahagian di pertingkatkan demi untuk memastikan kemenangan UMNO di kawasannya. Tapi pisang berbuah dua kali, namanya walaupun tersenarai tidak di calonkan. Antara analisis pada masa itu menyifatkan ada calon yang lebih “SESUAI“ untuk mewakili kawasan tersebut. Maka sahabat kita ini teruslah berjuang, hati yang luka terus di pendam demi perjuangan untuk parti. Ada pengikut – pengikut setia beliau yang ingin derhaka, ingin mensabotaj calon tersebut, namun di tiupkan kesabaran kepada mereka agar lebih pentingkan parti dari hati sendiri yang telah dua kali luka.

Kini pilihanraya ke 12 menjelang kembali. Gendang perjuangan kembali berbunyi. Sekali lagi, sahabat kita ini mendapati namanya tersenarai sebagai calon buat kesekian kali. Calon yang “sesuai“ di tahun 2004 dahulu telah di ketepikan, kerana tidak paham isu penduduk tempatan, banyak cakap dari kerja dan tidak mesra rakyat. Di sudut hati sahabat kita, tersenyum sendiri kerana sedikit sebanyak terbukti hanya anak tempatan yang memahami struktur geopolitik kawasan sendiri.

Lalu sahabat kita ini mengharap, agar akhirnya pihak kepimpinan dapat mengerti bahawasanya semestinya kawasan ini di tadbir oleh anak kawasan ini sendiri. Jauh di benak hatinya, berdoa agar kesilapan lalu tidak di ulangi, agar mereka mengerti kawasan ini perlukan pemimpin yang memahami selok – belok anak – anak mukim. Sahabat kita dan juga kepimpinan lain cawangan dan bahagian sebulat suara ingin mengetengahkan calon tempatan, agar kawasan dapat di majukan untuk menghadapi cabaran masa mendatang.

Namun harapan tinggal harapan. Sekali lagi mainan politik bangsawan – bangsawan UMNO di peringkat pusat terus mengenepikan pendapat dan juga pandangan pemimpin – pemimpin kecil peringkat cawangan. Calon yang di pilih untuk mewakili kawasan sahabat kita pada kali ini rupanya orang luar ataupun calon "TERBANG" buat kesekian kalinya. ORANG LUAR sekali lagi menjadi calon kerana ORANG LUAR ini rapat dengan menantu Presiden UMNO Malaysia, dan di janjikan pelbagai benda asalkan beliau dapat menjadi ejen mengekalkan pengaruh SI MENANTU di negeri Jelapang Padi.

Tak perlulah saya beritahu siapakah menantu itu, rasanya sudah seantero Malaysia mengetahui!!!

Pelik bila orang yg mengetengahkan diri menjadi pemimpin tidak lagi memikirkan tentang rakyat di sekeliling, hanya mementingkan kuasa, hawa nafsu dan mengutip kekayaan dari rakyat. Pengorbanan sahabat kita, seorang pejuang selama 25 tahun di buang begitu sahaja, ibarat meludah sepah tebu selepas habis manis di mamah!

Para bangsawan UMNO di Pusat tidak peduli apa berlaku di cawangan dan bahagian, asalkan tembolok mereka kenyang dengan kontrak dan wang! Pendapat cawangan dan bahagian tentang sapa patut jadi pemimpin tidak lagi penting, asalkan mereka dapat mengekalkan pengaruh mereka. Akar umbi di kerah bekerja siang malam, pagi petang sepanjang kempen untuk hawa nafsu peribadi mereka. Yang makin kaya tetap mereka, yang teruk bekerja ialah orang – orang bawahan yang niatnya ikhlas semata – mata untuk bangsa, agama dan tanahair mereka. Orang – orang bawahan hanya menjadi permata bila ada pilihanraya sebagai jentera, apabila sudah menang, orang bawahan kembali menjadi kaca…..tiada nilai. Fikir – fikirkanlah, di sebalik kesetiaan dan penat lelah kita, akhirnya adakah yang terbaik diberikan kepada kita oleh kepimpinan UMNO ?

Persoalannya sekarang, sampai bila perkara ini harus di biarkan?

ADAKAH INI TERJADI DI KAWASAN ANDA?

ADAKAH ANDA PEJUANG? HARUSKAH INI DI BIARKAN?!!

DI KALA INGIN MEMANGKAH KERTAS UNDI NANTI, TEPUK DADA, TANYA LAH SELERA !

Wallahu alam.


*Penulis merupakan ahli setia UMNO Kedah yang inginkan perubahan UMNO KEDAH secara total dari anasir – anasir politikus oportunis yang tidak ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanahairnya.